Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada rakan-rakan.
Kini saya sudah hampir sebulan berada di negeri di bawah bayu (Sabah). Dahulunya memang teringin menjejakkan kaki di negeri ini. Kini segalanya menjadi kenyataan berikutan dengan prospek kerja saya yang membawa diri saya ke sini.
Alhamdulillah. Segalanya baik, aman, bahagia dan sentosa berada di sini bermula dari awal kaki saya menjejak tanah bumi bertuah di sini. Pemandangan di tempat saya mengajar tidak jauh beza dengan suasana sekolah rendah lama dahulu (16tahun dahulu). Murid di sini amat menghormati guru dan suasana hubungan yang baik antara guru-guru dan masyarakat setempat amat baik dan akrab.
Saya telah dilantik untuk memikul tanggungjawab menjaga Panitia Kemahiran Hidup. Sekalipun panitia ini tidak pernah saya tahu menahu, namun berkat kudrat dan ilmu yang ada saya cuba sedaya upaya untuk menaikkan pantia KH di sekolah saya untuk menuju puncak yang lebih tinggi seiring dengan kemajuan pesat teknologi pendidikan era masa kini. Memang jauh beza fasiliti di sini, namun tidak menggugat semangat saya untuk terus berjuang.
Sepanjang hampir sebulan di sini, banyak perkara dan pengalaman baru yang saya timba serta alami dalam keadaan sedar dan tidak sedar. Bermulanya mencelik mata diwaktu pagi sehinggalah memejamkan mata di malam hari. Segala-galanya baru bagi saya dan pengalaman itu menjadikan saya lebih mengerti akan makna bersyukur dalam sebuah kehidupan yang sementara ini.
Buat masa sekarang, saya tinggal sebumbung bersama-rakan guru yang baru di sekolah saya. Kebetulan kami semuanya sudah berkahwin dan berkeluarga, bezanya saya sahaja yang belum punyai cahaya mata. Keringat penat lelah di seklah di lepaskan di tilam empuk di rumah. Alangkah indah dan bahagianya jika ada keluarga di sisi kita. Itulah perasaannya yang sering dirasai oleh saya setiap kali sebelum dan selepas pulang dari sekolah. Tinggal bersama rakan yang pandai memasak, mengajar saya untuk terus berdikari dalam hidup secara lebih tabah dan tidak bergantung kepada tukang masak (isteri@mak) untuk menyediakan makanan bagi perut yang berkeroncong kelaparan.
Banyak juga perkara yang hendak dikongsikan bersama. Setakat ini dahulu dari saya. Untuk cerita seterusnya akan saya ulas dan berkongsi akan detik-detik dan corak-corak pembaharuan di sekolah saya bersama guru-guru di sana dalam menjalankan projek 3K yang diketuai oleh rakan rumah saya selaku guru yang bersemangat waja bernama Cikgu Syahar dari Kedah manakala Plan Designer (Arkitek) diketui oleh Cikgu Azuar dari kelantan.
Buat masa ini, gambar tidak dapat di masukkan atas faktor kelembapan talian jalur lebar di sini kerana tiada teknologi 3G tetapi yang ada teknologi GPRS sahaja.
Kepada rakan-rakan lain, saya mengucapkan TAHNIAH bagi yang berjaya menjejakkan kaki ke sekolah sebagai seorang PENDIDIK dan ucapan selamat BERJAYA menjadi seorang pendidik yang cemerlang dan semoga usaha dan keringat bakti kita mendapat keberkatan dan kejayaan untuk AGAMA, Bangsa dan Negara Malaysia tercinta juga untuk msyarakat dunia agar Pendidikan di Malaysia menjadi 1contoh 1rancangan yang dapat menjadi ikutan. Amin.
Sekian.
1.38p.m.
(AHAD)
24/1/2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan