SILA KLIK SINI JUGA

FoLLow3rS

Iklan

Pertandingan Memasak 2015 SK Lahad Datu III

Isnin, 3 September 2012

Nota Sistem Suria Sains Tahun 4

SISTEM SOLAR



Sistem solar ialah Matahari dan semua objek yang mengorbitnya. Objek-objek yang mengorbit Matahari ialah 8 planet iaitu;



1. Utarid (Mercury)


2. Zuhrah (Venus)

3. Bumi

4. Marikh (Mars)

5. Musytari (Jupiter)

6. Zuhal (Saturn)

7. Uranus

8. Neptun (Neptune)



Sistem Solar





Terdapat tiga planet kerdil iaitu Pluto, Ceres dan Eris, manakala ada 170 bulan-bulan yang mengelilingi planet-planet tersebut, dan berbilion objek-objek yang lebih kecil, termasuk asteroid, objek lingkaran Kuiper, komet, meteoroid dan debu angkasa.





Empat planet yang paling dekat dengan Matahari ialah Utarid, Zuhrah, Bumi, dan Marikh, yang juga dipanggil planet-planet terestrial kerana permukaannya yang padu. Empat planet gergasi yang terletak di luar orbit Marikh ialah Jupiter, Saturn, Uranus, dan Neptune, dikenali sebagai gergasi-gergasi gas.







Sejak penemuannya pada tahun 1930 hingga tahun 2006, Pluto dianggap sebagai planet kesembilan dalam Sistem Solar. Namun di penghujung abad ke-20 dan awal abad ke-21, banyak objek serupa Pluto ditemui di bahagian Sistem Solar yang jauh, terutama sekali Eris (dulu dikenali sebagai 2003 UB313), yang lebih besar dari Pluto. Pada 24 Ogos 2006, Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU) secara rasminya menuruntarafkan Pluto daripada sebuah Planet menjadi sebuah planet kerdil.





Menurut kaedah baru sesuatu planet mesti mempunyai 3 kriteria iaitu;
Ia mesti mengorbit Matahari;
Ianya mestilah cukup besar sehingga mengakibatkan graviti menariknya menjadi bentuk bulat, dan;
Ia mestilah menyahkan objek-objek lain dari persekitaran orbitnya. Selain dari Pluto, Ceres iaitu objek terbesar di lingkaran asteroid; dan Eris, yang terletak di kawasan objek berselerak di luar lingkaran Kuiper juga dimasukkan dalam kategori planet kerdil.




99.86% daripada jisim Sistem Solar terdiri daripada Matahari. Daripada 0.14% jisim yang tinggal lebih 90% terdiri daripada jisim dua planet yang terbesar, Musytari dan Zuhal.





Ruang Antara Planet



Jika mengikut ukuran, sebahagian besar Sistem Solar kelihatan seperti ruang kosong. Ini bukan semata-mata ruang kosong, sebaliknya ruang kosong ini terdiri daripada apa yang dikenali bahan-bahan antara planet (interplanetary). Ia termasuk berbagai bentuk tenaga dan sekurang-kurangnya dua komponen iaitu;



· Debu antara planet - terdiri daripada partikel-partikel mikroskopik pepejal.

· Gas antara planet - aliran gas dan partikel bercaj yang halus, (sebahagian besarnya proton dan elektron – yang terpancar dari Matahari, dan juga dikenali sebagai angin solar)





Pertembungan antara angin solar dan medium antara bintang, iaitu angin solar dari bintang-bintang lain, dikenali sebagai heliopause. Ia adalah sempadan yang secara teorinya berbentuk bulatan atau berbentuk titisan airmata, dan menandakan berakhirnya pengaruh Matahari, iaitu satu jarak kira-kira 100 AU jauhnya dari Matahari.





Ahli kaji bintang biasanya mengukur jarak dalam Sistem Solar menggunakan unit astronomi (AU). Satu AU ialah jarak antara Bumi dan Matahari, kira-kira 149,598,000 km (93,000,000 batu). Utarid (0.4 AU) ialah planet terdekat dengan Matahari. Selepas itu ialah Zuhrah, kira-kira 0.7 AU dari Matahari. Kedua-dua Utarid dan Zuhrah tiada bulan sendiri. Planet seterusnya ialah Bumi, pada jarak 1 AU. Selepas Bumi ialah Marikh (1.5 AU) dengan dua bulan kecil, Deimos dan Phobos.





Empat planet-planet terestrial ini biasa dikenali sebagai planet dalaman. Selepas Marikh wujud satu lingkaran asteroid, terletak kira-kira 2.3 dan 3.3 AU dari Matahari. Saiz asteroid berbeza dari sebesar yang berdiameter beratus kilometer hinggalah sehalus debu. Yang paling besar, Ceres, diklasifikasikan sebagai satu planet kerdil. Selepas lingkaran asteroid terletaknya gergasi-gergasi gas. Yang paling besar ialah Musytari, pada jarak 5.2 AU dari Matahari. Musytari mempunyai 63 bulan. Empat yang terbesar, Ganymede, Callisto, Io, dan Europa mempunyai persamaan dengan planet-planet terestrial, seperti gunung berapi dan haba dalaman. Ganymede, bulan terbesar dalam Sistem Solar, lebih besar dari Utarid.





Planet kedua terbesar ialah Zuhal, pada jarak 9.5 AU dari Matahari. Zuhal mempunyai 60 bulan yang diketahui. Selepas Zuhal terletak Uranus (19.6 AU), diikuti oleh Neptun (30 AU). Kawasan selepas Neptun, yang biasa dikenali sebagai kawasan luaran Sistem Solar atau wilayah trans-Neptun, sebahagian besarnya masih belum diterokai. Lingkaran Kuiper, formasi pertama wilayah ini, ialah satu lingkaran serpihan serupa seperti lingkaran asteroid, tetapi terdiri daripada ais. Ia berjarak dari 30 AU ke 50 AU dari Matahari. Objek terbesar di lingkaran Kuiper ialah Pluto (purata 39 AU dari Matahari).






Sumber: Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Sini

Related Posts with Thumbnails