Pada hari ini bersamaan dengan 14-Ramadhan (14-Ogos-2011) hari Ahad, saya menuju ke Sandakan untuk menghadiri Kem ELIT Fasa 2/2011 bertempat di Hotel Hsiang Garden (Jln Leila) berdekatan dengan Bdr Ramai. Saya bertolak dari rumah Lahad Datu tepat jam 5.45pagi dan tiba di Kg.Paris 3 jam 6.20pagi. Saya berehat sebentar dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Sandakan kerana mata yang agak kuyu dan berat. Setelah berehat, saya meneruskan perjalanan (jam 6.35pagi) ke Sandakan dan tiba di kawasan hotel tersebut lebih kurang jam 8.15pagi.
Setelah memastikan dengan kakitangan hotel bahawa program dilaksanakan di hotel tersebut berada di tingkat 2, saya bergegas ke sana dan mendapati Cikgu Salmah (SK Jaya Baru) bersama Cikgu Asiah (SK Paris 1) telah memulakan pembentangan sesi Kertas SAINS UPSR.
Sepanjang penerangan yang diberikan saya sempat menulis dan memperoleh banyak maklumat penting dan corak penyampaian berkesan yang ditunjukkan oleh Ckgu Salmah. Manakala segala kekurangan dapat diperbaiki pada masa akan datang. Murid menunjukkan respon yang agak baik walaupun dalam keadaan berpuasa bagi Umat Islam sempena bulan Ramadhan, namun sedikit pun tidak menjejaskan semangat juang murid Kinabatangan untuk teruskan usaha dalam mencapai kecemerlangan 5A dalam UPSR.
Setelah selesai sesi 1, maka sesi yang ditunggu telah tiba iaitu majlis penangguhan Kem ELIT Fasa 2. Encik Jefri selaku Pegawai Pelajaran Daerah(PPD) bersama dengan Encik Anuar hadir dalam majlis ini. Cikgu Salmah dilantik sebagai pengerusi majlis telah minta saya untuk membaca doa selamat. Saya hanya mampu untuk doa selamat dalam Bahasa Melayu. Setelah selesai doa di aminkan. PPD menyampaikan kata amanat dan nasihat kepada semua murid selaku peserta kem ini. Beliau menyatakan bahawa mereka yang hadir adalah pilihan dan telah dipilih dengan teliti oleh sekolah masing-masing. Kejayaan pertama dalam UPSR bakal mencorakkan laluan bagi langkah seterusnya samada lebih mudah ataupun sukar. Maka setiap murid harus berusaha bersungguh-sungguh dan usaha dalam belajar untuk berjaya serta gunakan masa yang ada untuk belajar meskipun waktu perayaan hampir tiba tetapi jangan terlalu asyik dengan sambut hari raya sedangkan perayaan itu boleh disambut tahun-tahun akan datang tetapi UPSR hanya sekali seumur hidup dalam menempatkan diri kedudukan yang lebih baik daripada sekarang iaitu di sekolah berasrama penuh samada MRSM, sekolah agama, sekolah sains dan lain-lain. MRSM Sandakan akan dibuka mulai tahun hadapan. Maka usahalah sungguh-sungguh.
Itulah amanat yang diberikan dari PPD kepada murid-murid yang dapat saya coretkan disini (sedikit sahaja walaupun sebenarnya ada panjang lagi tetapi tidak mampu untuk saya ingati semuanya.)
Seterusnya, majlis penyampaian cenderamata kepada semua Jurulatih Utama Subjek dan juga sesi bergambar sebagai kenang-kenangan bersama.
Segala yang baik datang daripada ALLAH TAALA, yang lemah datang dari saya.
Maaf andai ada tulisan di sini yang mengguris jiwa hati dan perasaan.
Sekian dan terima kasih.
(program Kem ELIT ini diadakn bermula hari Jumaat bersamaan dengan 12-Ogos hingga 14-Ogos-2011 Ahad. Semua AJK perlaksana yang terlibat terdiri daripada JU PPD Kinabatangan dan kalangan guru-guru di daerah Kinabatangan sendiri. Tahniah kepada Cikgu Nik Helmi Azuar selaku rakan sekolah saya yang dipilih sebagai Penyampai Motivasi bagi program kali ini.)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan