SILA KLIK SINI JUGA

FoLLow3rS

Iklan

Pertandingan Memasak 2015 SK Lahad Datu III

Jumaat, 8 April 2011

Pendidikan Berkesan (Sinopsis BUKU)

Pembacaan bahan ilmiah kini merupakan satu lagi platform untuk para pendidik untuk meningkatkan tahap profesinalisme dalam bidang perguruan. Untuk itu, guru akan melaksanakan sedikit sinopsis bagi satu-satu bahan bacaan yang dibaca sebagai LDP dan juga rujukan, panduan perkongsian bersama.

Pendidikan berkesan yang diketengahkan dalam post kali ini ialah satu sinopsis yang ringkas dan padat tetapi tidak secara menyeluruh untuk saya berkongsi dengan semua. Adalah diharap mendapat teguran sekiranya terdapat kekurangan dan kesilapan yang boleh saya perbaiki.

Syukur Alhamdulillah di panjatkan kepada Allah Taala dengan peluang masa dan ruang yang ada dapat kita kongsi bersama sedikit sinopsis buku yang dikarang oleh Abdul Salam Yussof dari Universiti Malaya. Intipati yang terdapat dalam buku ini boleh digunakan oleh semua peringkat samada dalam sekolah, masyarakat, keluarga mahu pun sebuah organisasi yang lebih menumpukan corak pendidikan cara Islam.

KLIK SINI UNTUK SINOPSIS BUKU EDISI MOTIVASI (TERKINI 2012)



SINOPSIS BAHAN BACAAN ILMIAH (Latihan Dalam Perkhidmatan)
Nama : Mohd Mustakim bin Kamarudin
Tajuk : Latihan Dalam Perkhidmatan (Pembacaan Bahan Ilmiah)
Tarikh : 05-April-2011
Masa diambil : 3 minggu (15 Mac - 05hb April 2011)
Tajuk Buku : Imam Al-Ghazali PENDIDIKAN BERKESAN
Keluaran : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Penulis : Abdul Salam Yussof
Bilangan m/s : 160 (termasuk bibliografi)
No. Siri ISBN : 967-61-1388-3
Harga : RM 15.00
Sumber : Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Lahad Datu


(borang sinopsis buku untuk guru: BORANG/LAMPIRAN)


Imam Al-Ghazali yang dikatakan dalam buku ini merupakan tokoh ahli fikir Islam yang terkenal bukan sahaja dalam umat Islam malah seluruh manusia sepanjang zaman bermula dari zaman Al-Ghazali di angkat sebagai ulama sehinggalah ke saat ini. Ditulis dengan terperinci akan biodata dan sejarah silam serta keluarga tokoh ini. Perkara utama yang hendak dikongsikan di sini ialah sumbangan Imam Al-Ghazali kepada umum dalam pendidikan berkesan bermula dari waktu kecil hingga dewasa.
Antara bahan rujukan yang digunakan dalam penulisan buku ini ialah Kitab Ihya Ulum Al-Din yang dikarang oleh Imam Al-Ghazali. Dihuraikan dengan panjang lebar untuk pelbagai bidang. Antara yang dapat kita beri perhatian ialah bahagian utama kitab tersebut yang telah dibahagikan antaranya ialah ibadah, muamalat dan perkara-perkara yang dapat merosakkan kehidupan manusia
(keajaiban hati).




Seterusnya diterangkan di sini kejayaan yang diperolehi oleh Imam Al-Ghazali sebagai ulama utama dalam sejarah pemikiran Islam. Ini adalah kerana sumbangan besar yang diberikan telah mewujudkan kesepaduan dan penjelasan had-had antara Islam dan kufur, had-had kebebasan pentafsiran yang boleh dibolehkan dan batas-batas yang dilanggar adalah bermakna kufur. Dalam pada itu, beliau mengkritik corak kurikulum yang sedang merosot dengan beberapa kelemahan yang dikenal pasti iaitu memisahkan sains keduniaan daripada sains Islam dan beberapa perkara-perkara yang tiada tempat dalam syariat dimasukkan dalam kurikulum dan menjadikan seolah-olah ia adalah sebahagian daripada syariat.

Dalam bahagian kedua buku ini menjelaskan akan sumber, tujuan dan klasifikasi ilmu. Dijelaskan di sini bahawa Al-Ghazali menggambarkan kedudukan ilmu mesti berasaskan keimanan atau keyakinan yang kukuh. Ini adalah kerana segala sumber ilmu itu datang daripada Allah Taala yang diterima oleh hati dan akal untuk ditafsirkan dan berfikir. Manakala sumber ilmu itu di bahagikan kepada ilmu syariah dan ilmu bukan syariah. Sumber ilmu yang tertinggi ialah wahyu yang berasal daripada Allah. Manakala ilmu bukan wahyu (ilmu aqliah) begitu banyak batasan dan sistem nilai yang mana ada sebahagian ilmu yang tidak terjangkau dalam fikiran kita selaku manusia biasa.

Al-Ghazali dengan karya-karya yang ditulis menyatakan tujuan ilmu itu melahirkan insan sempurna untuk mendekatkan diri kepada Allah dan melahirkan insan sempurna untuk mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Antara penulisan Al-Ghazali yang menyatakan bahawa:
Kau telah maklum bahawa natijah dari ilmu ialah mendekatkan diri kepada Pencipta Alam dan menaikkan taraf sama dengan para malaikat serta berada di tengah-tengah arwah yang utama. Hal ini adalah di akhirat nanti sedangkan di dunia pula ia menjadi mulia, memiliki kebesaran, mempunyai pengaruh pemerintahan kepada pemimpin Negara dan biasanya amat dihormati (m/s 55).

Manakala objektif utama penulisan kitab Al-Ghazali ialah menggalakkan umat Islam mempraktikkan ilmu, membersihkan amalan daripada kotoran dan melakukan dengan ikhlas. Beliau juga menganjurkan kepada murid-muridnya menjadi orang yn cerdas, mahir berfikir, mengadakan penelitian yang mendalam, menggunakan akal fikiran dengan baik dan ptimum bagi menguasai ilmu. Dalam penulisan Al-Ghazali yang lain ialah “Tujuan murid mempelajari segala ilmu pada masa kini adalah untuk kesempurnaan dan keutamaan jiwanya”.

Turut dikupas dalam buku ini tentang konsep pembelajaran ilmu. Bagi golongan yang bergelar guru, perkara yang boleh kita ambil perhatian di sini (dalam penulisan buku ini) ialah, guru memberi kesan yang besar dalam perkembangan, personaliti, mental, fizikal dan spiritual setiap manusia. Guru memaikan peranan penting sebagai pengajar, pengurus, pembimbing, penggalak, penyelaras dan juga inovator iaitu orang yang membawa pembaharuan. Ini adalah kerana guru menjalankan tugas untuk membina kemurnian jiwa, pemikiran dan tingkah laku murid. Guru merupakan model dalam keperibadian sebagai pendidik kepada murid-murid. Sebab utama kemerosotan moral, disiplin dan akhlak adalah kerana pendidikan yang terlalu menekankan aspek kognitif dan psikomotor untuk pencapaian cemerlang dalam peperiksaan sahaja.

Keperluan pendidikan awal ditekankan oleh Al-Ghazali yang mana secara ringkasnya adalah seperti berikut; (1) Pendidikan anak mula diperhatikan sejak lahir lagi yang mana asuhan dan penjagaan diserahkan kepada perempuan yang baik akhlaknya. (2) Membiasakan anak-anak hidup secara sederhana antaranya dianjurkan anak berpakaian putih dan tidak bercorak garang dan ditegah anak tidur di tilam yang tebal supaya otot badannya menjadi kuat. (3) Anak-anak diajar al-Quran, hadis-hadis pilihan dan biografi tokoh-tokoh besar dan hindarkan membaca syair atau puisi yang tidak bermoral. (4) Beri peruntukan waktu yang cukup untuk pendidikan jasmani supaya badannya menjadi sihat. (5) Menyemai akhlak yang mulia dan tingkah laku yang sopan. (6) Pelihara pergaulan anak-anak daripada teman yang nakal. (7) Memberi ganjaran bagi setiap budi pekerti yang dilakukan. (8) Jangan banyak mencela atau memaki anak-anak yang melakukan kesilapan dan kesalahan. (9) Anak diajarkan ilmu syariat ketika memasuki alam remaja. (10) Anak perlu pelajari ilmu aqliah di peringkat dewasa.

Kesimpulannya, melalui pembacaan bahan ilmiah yang telah dikaji diperingkat tinggi ini maka dapatlah kita mengambil manfaat sepenuhnya untuk digunakan sebagai rujukan dan panduan dalam memperbaiki dan menambahkan pengetahuan sedia ada. Buku ini boleh dijadikan sandaran dalam membina pendidikan berkesan membentuk cara kehidupan pembelajaran yang dianjurkan oleh imam Al-Ghazali.


Sekian, terima kasih.

Beberapa link yang bleh kita lihat berkenaan tajuk buku berkaitan

1) http://www.scribd.com/doc/5382480/Imam-Al-Ghazali

2) http://www.ujanailmu.com.my/pd-idea-idea-pendidikan-berkesan-al-ghazali-dan-konfusius.cfm (buku baru)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Sini

Related Posts with Thumbnails