SILA KLIK SINI JUGA

FoLLow3rS

Iklan

Pertandingan Memasak 2015 SK Lahad Datu III

Khamis, 1 Oktober 2009

Alam Sekitar



Pendidikan ALAM SEKITAR

DEFINISI
Alam sekitar merupakan segala benda hidup dan bukan hidup yang wujud secara semula jadi di permukaan bumi, atau sebahagian daripadanya. Alam sekitar meliputi beberapa komponen utama: Unit landskap yang berfungsi sebagai sistem semula jadi tanpa penglibatan manusia, termasuk tumbuh-tumbuhan, haiwan, batu-bata, dan sebagainya, serta fenomena semula jadi yang berlaku. Sumber sejagat semula jadi serta fenomena fizikal yang tidak mempunyai batasan tertentu seperti udara, air, dan iklim, serta tenaga, sinaran, cas elektrik, dan kemagnetan, yang tidak wujud hasil daripada aktiviti manusia [1].
Pencemaran boleh ditakrifkan sebagai pembuangan benda-benda atau bahan-bahan hasil dari aktiviti manusia ke alam persekitaran menyebabkan terganggunya keselesaan atau kemandirian kehidupan.Takrifan Pencemaran yang lebih bermaklumat adalah menurut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang menyatakan bahawa pencemaran adalah sebarang perubahan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizik,kimia,biologi atau aras-aras radiasi mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepaskan,mengeluarkan atau meletakkan buangan hingga menjejaskan keguanaan-kegunaan berfaedah,yang menimbulkan sesuatu keadaan berbahaya atau mungkin berbahaya kepada kesihatan,keselamatan atau kebajikan awam atau organisma-organisma lain,tumbuhan dan haiwan [2].
Seterusnya fakta dan peristiwa rentetan daripada isu alam sekitar yang berlaku di sekeliling kita akan diperincikan dengan lebih lanjut mengikut punca, kesan serta cara-cara mengatasinya.













ISU ALAM SEKITAR

PENCEMARAN TANAH DAN PENEBANGAN POKOK
Pencemaran tanah bermaksud perbuatan yang berlaku kepada sesuatu kawasan sehingga terjadinya pertukaran warna,kesuburan dan hakisan.Pencemaran ini disebabkan oleh bahan buangan sama ada berbentuk air atau pepejal.Bahan pencemar pula terdiri daripada pencemar organik,kimia atau fizik[3].
Antara punca-punca berlakunya pencemaran ini ialah:
a.Pembuangan bahan-bahan buangan daripada kilang seperti minyak,sisa toksik dan sisa-sisa kilang.
b.Pembuangan sampah merata-rata juga merupakan penyumbang ke arah pencemaran ini.
c.Penggunaan racun serangga secara berlebih-lebihan juga boleh menjadi salah satu punca.
d.Sikap manusia yang jarang menghargai nilai-nilai maksum yang terdapat di kawasan menarik dan indah.Penebangan pokok-pokok dan industri pembalakan di kawasan tersebut,bertujuan kononnya untuk menggerakkan industri hiliran bagi membangunkan ekonomi negara.Kesan penebangan telah mengubah sama sekali rupa bumi di kawasan berkenaan.
Pencemaran tanah juga memberi kesan ke atas aktiviti harian manusia.Jika hampir kesemua tempat telah dicemari,manusia sudah tidak berpeluang lagi untuk melihat keindahan alam ini.Tanah yang telah dicemari tidak sesuai lagi untuk dijalankan pertanian kerana bahan kimia akan membunuh tumbuhan yang ditanam.
Penukaran tanah dari hutan kepada pertanian telah mengakibatkan berlakunya penebangan hutan secara meluas. Selain daripada mengurangkan jumlah hutan asal dan biodiversiti hutan dan hidupan liar, penebangan hutan juga turut menyumbang kepada hakisan tanah, pemendapan, kerosakan cerun dan tanah runtuh di Malaysia .Penebangan hutan yang berterusan dan kemusnahan hutan di kawasan tadahan air akan menjejaskan bekalan air dan kualiti sumber air, menjejaskan kemampuan pengambilan semula air bawah tanah dan menyebabkan lebih banyak banjir di kawasan tanah rendah.
Kemusnahan alam sekitar diakibatkan oleh pelbagai pihak. Sektor perindustrian dan sektor pertanian yang merupakan sektor terpenting di negara kita turut menyumbang dalam kemusnahan alam sekitar. Selain itu,punca-punca lain adalah penggunaan baja kimia dan secara berlebihan, penebangan pokok-pokok secara berleluasa, pembakaran terbuka, pembebasan gas-gas seperti gas karbon monoksida, karbon dioksida, sulfur oksida, hidrokarbon dan lain-lain, pengeluaran sisa-sisa bahan toksik yang berbau busuk, dan pembuangan sisa-sisa toksik.
Pembangunan pesat yang dimajukan di kawasan yang dirancangkan oleh sesetengah pihak juga mendatangkan kesan yang besar. Penggondolan kawasan secara melampau bagi tujuan pembangunan perbandaran turut menyebabkan pencemaran dan kehilangan kawasan hutan dan pertanian. Kesan yang ketara akibat kerakusan manusia dalam mengejar pembangunan menjadikan haiwan hilang habitat dan mengganggu sistem ekosistem dan berlakunya pemanasan global. Keadaan atau suhu panas di sesuatu kawasan dapat dirasai dengan ketara kerana hilangnya hutan rimba yang menempatkan pelbagai jenis pokok yang dahulunya menyejukkan dan memberi bekalan oksigen yang mencukupi. Kini segalanya hilang dan punah. Sebagai contoh, kawasan putrajaya dan sekitarnya iaitu cyberjaya yang dikenali sebagai Bandar pentadbiran pusat dan Bandar intelligent mempunyai suhu yang jauh lebih panas berbanding sebelum wujudnya pembangunan di kawasan situ. Sekalipun pelbagai pokok telah ditanam semula, namun hanya terdapat pokok-pokok renek sahaja berdekatan kawasan Putrajaya dan Cyberjaya.
Maka, usaha keras dan aktiviti untuk mengembalikan keadaan yang lebih baik di kawasan Putrajaya giat dijalankan sehingga ke hari ini. Jika dulu ada pihak yang melemparkan pelbagai kecaman terhadap pembinaan Putrajaya dengan dakwaan kononnya membazir, tetapi kini mereka mengakui kepentingan mewujudkan bandar ini. Putrajaya kini diiktiraf sebagai model pembangunan bersepadu bukan saja sebagai Pusat Pentadbiran Negara, malah pembangunan yang menitikberatkan pelbagai aspek, tanpa mengorbankan unsur semula jadinya. Bukan itu saja, malah banyak negara mahu menjadikan pembangunan Putrajaya dalam melaksanakan konsep sama di negara mereka. Putrajaya adalah Pusat Pentadbiran Negara, tetapi pada masa sama mengandungi komponen lain seperti perumahan, komersial dan rekreasi bagi menghidupkan bandar raya ini. Bangunan batu yang menggabungkan seni bina tempatan dan moden mula memenuhi Putrajaya, namun pembangunannya tidak sekali-kali mengorbankan alam semula jadinya. Inilah keunikan Putrajaya sebagai Bandar Raya Dalam Taman. Kelebihan alam semula jadi ini juga menjadi tarikan utama pelancong ke sini, selain seni bina bangunannya yang unik. Pembinaan taman seperti Taman Putra Perdana dan Taman Botani menjadi aset produk pelancongan penting bagi Putrajaya [3].
Menguruskan dan mengawal sumber alam semulajadi dengan efisien dan berkesan. Dengan ini sumber tersebut boleh bertahan bagi jangkamasa panjang. Dengan mencari sumber alternatif yang boleh menggantikan sumber yang sedia ada akan membantu dalam memelihara sumber semulajadi daripada pupus.
Untuk mencapai pembangunan lestari perkara-perkara yang perlu digabungkan dengan sebaiknya ialah ekonomi, social, politik dan ekologi bagi mencapai kestabilan serta mewujudkan kualiti hidup yang seimbang seiring dengan perkembangan pembangunan Negara. Kesimpulannya, pertumbuhan populasi dunia dan kesedaran dalam memelihara alam sekitar merupakan masalah global yang perlu dihadapi oleh masyarakat dunia masa kini demi memastikan pembangunan lestari dapat menjami masyarakat dunia mendapat kualiti hidup yang lebih baik.




PENCEMARAN AIR DAN SUNGAI
Pencemaran air bermaksud perubahan yang berlaku dari segi kandungan,keadaan dan warna sehingga tidak sesuai dan akan memberi kesan terhadap manusia apabila digunakan. Pencemaran ini berlaku sama ada dari segi biologi,kimia dan fizik. Bahan pencemaran boleh didapati dalam pelbagai bentuk iaitu gas,cecair dan pepejal. Pencemaran air boleh berlaku di mana-mana bukan di sungai sahaja,tetapi juga di laut,pantai dan lain-lain secara sengaja atau tidak sengaja. Punca utama yang menghasilkan pencemaran ini lebih kepada bahan pencemar dari kilang-kilang yang berdekatan dengan sumber air tersebut. Oleh itu pencemaran air merupakan pencemaran yang begitu meluas kerana didapati di seluruh dunia.
Antara punca-punca pencemaran air ialah:
a.Sisa bahan buangan kilang seperti sisatosid yang dibuang ke dalam sungai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Pembuangan ini dianggap mudah kerana tidak memerlukan kos pelupusan.
b.Pembuangan bahan-bahan buangan seperti sampah,minyak dan najis oleh sesetengah pihak individu juga merupakan penyumbang ke arah pencemaran air.
c.Penerokaan juga membantu menyumbang ke arah pencemaran air. Ini adalah kerana, penerokaan yang dijalankan sudah pasti menyebabkan hakisan tanah berlaku dan seterusnya tanah runtuh akan masuk ke dalam sungai dan menjadi mendakan.Mendakan ini boleh mencetekkan lagi paras air sungai dan seterusnya banjir akan berlaku.
Permusnahan terhadap alam sekitar yang serius contohnya penebangan pokok-pokok di hutan bagi tujuang komersial.Ini bagi membuka penempatan baru untuk kediaman manusia,atau bagi mendirikan kilang-kilang.Akibatnya air akan tercemar akibat dari perlepasan air-air sisa dari kilang-kilang ini dan sisi makan dan najis yang di buang oleh kawasan kediaman manusia. Ini akan mendatangkan kesan termal dan juga sudah pasti akan mengakibatkan kandungan oksigen di dalam air sungai ,tasik dan laut berkurangan dan seterusnya menjejaskan ekosistem .
Hujan asid juga boleh menjuruskan kepada berlakunya pencemaran air. Hujan asid yang mengandungi sulphur dioksida dan juga nitrogen dioksida. Ini boleh menyebabkan eutrofikasi dan boleh membunuh kehidupan akuatik, Hujan asid ini sebenarnya berkaitan dengan pencemaran udara. Pencemaran udara pula berlaku adalah akibat dari asap-asap eksos kereta , asap yang dibebaskan semasa melakukan pembakaran secara terbuka dan akibat dari perlepasan gas-gas dari kilang ke udara. Selain dari beberapa punca yang disebabkan oleh manusia, alam semulajadi juga boleh menyebabkan pencemaran air, contohnya akibat letusan gunung berapi, badai atau ribut taufan dan gempa bumi.Bila ini berlaku maka secara tidak langsung kualiti air pada sungai, air dan tasik terjejas, tetapi ini tidak selalu berlaku dalam Negara kita di Malaysia kecuali banjir kilat.
Kesan lain ialah manusia juga boleh mendapat penyakit atau masalah kesihatan yang teruk jika meminum atau menggunakan air yang tercemar. Selain itu, sampah-sarap dan najis yang dibuang ke dalam air juga menggalakkan bakteria untuk terus membiak dan menjadi masalah kepada kehidupan di dalam air mahupun kepada manusia sendiri. Bahan-bahan toksid yang dibuang akan memberi kesan terhadap kitaran makanan dengan mempengaruhi dan meracuni hidupan-hidupan di sungai dan tasik seperti rumpair, burung, ikan dan hidupan lain. Bahan-bahan toksid yang bercampur dengan air sungai atau tasik,secara langsung akan mempengaruhi kualiti air minuman. Hal ini memberi kesan negatif terhadap kesihatan, seperti kehadiran nitrat yang berlebihan dalam air minuman yang akan mengakibatkan keracunan darah kepada bayi kecil dan barah kepada orang dewasa. Selain itu pencemaran air juga menjadi punca kepada banjir yang berlaku di dunia pada masa kini. Banjir-banjir yang kerap berlaku disebabkan oleh tersumbatnya parit yang sepatutnya mengalirkan air ke laut ataupun sungai. Apabila sampah sarap menyumbatkan aliran air tersebut, banjir mudah berlaku dan menyebabkan persekitaran kotor apabila banjir tersebut berlaku. Kesan langsung daripadanya adalah kemusnahan tapak pembiakan rantai makanan, dan juga mempengaruhi pembuatan makanan, produktiviti makanan, dan kos meningkat.
Memandangkan dunia sekarang sedang diancam bahaya pencemaran, langkah-langkah wajar dan berkesan patut diambil. Langkah untuk melindungi alam sekitar ini bukanlah tanggungjawab pihak kerajaan sahaja. Ia adalah tanggungjawab semua pihak. Kerajaan patutlah memperketatkan undang-undang yang melindungi alam sekitar. Rondaan oleh pegawai Jabatan Alam Sekitar patut diperbanyakkan. Para pengusaha terutama pengusaha kilang secara besar-besaran sepatutnya mendapatkan nasihat daripada Jabatan Alam Sekitar sebelum sesuatu operasi perindustrian dijalankan. Pengguna memainkan peranan yang terpenting dalam menangani masalah pencemaran. Sebagai seorang pengguna yang bertanggungjawab, kita perlulah memilih barangan yang mendatangkan pencemaran yang kurang sekali. Tanpa permintaan terhadap barangan yang mendatangkan pencemaran, pengusaha kilang juga akan mula menggunakan bahan-bahan yang lebih sesuai dengan alam sekitar.
Kempen Cintai Sungai Kita pertama kalinya dirasmikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) pada 1993, untuk mendidik pihak awam akan kepentingan sungai dan alam sekitar dalam kehidupan kita dan pada masa yang sama menonjolkan keadaan kritikal pencemaran yang dihadapi oleh sungai kita [4]. Menyertai sesuatu kempen untuk melindungi alam sekitar adalah sesuatu yang sihat dan amat digalakkan. Antara kempen-kempen yang melindungi alam sekitar ialah kempen cintailah sungai kita, kempen kitar semula, sahabat alam dan sebagainya. Kempen-kempen ini dapat memberi kesan yang mendalam terhadap peserta-pesertanya. Dalam kempen-kempen ini, peserta-peserta akan diajar tentang pentingnya menjaga alam sekitar dan cara-cara menguruskan sisa buangan supaya hanya mendatangkan pencemaran yang minimum kepada alam sekitar. Sungai yang bersih dan cantik mewujudkan persekitaran yang sihat dan menarik untuk rekreasi. Pengindahan sungai perlu diikuti dengan program lanskap, yang bersesuaian dengan keadaan semulajadi dan tradisi tempatan. Ini akan menjadikan sesuatu kawasan itu tumpuan utama, kebanggaan dan kegembiraan penduduk tempatan, yang seterusnya merekalah yang akan memastikan keindahan dan kebersihannya. Diantara program pengindahan yang telah dilaksanakan di Malaysia adalah Sarawak 'waterfront'; sebuah projek di tengah Kuching, Sarawak; kawasan hutan bakau di Bakau Tinggi, Terengganu; kampung-kampung di Sungai Raga, Kedah dan Sungai Congkak di Selangor. Adalah diharapkan lebih banyak penglibatan yang aktif oleh individu-individu dan sektor korporat dalam program-program yang dianjurkan di kawasan masing-masing. Selain itu, kempen kitar semula dapat menggalakkan pengguna untuk mengitar semula bahan yang boleh dikitar semula. Secara tidak langsung juga, peserta akan belajar berjimat.
Pada hari ini media massa memainkan peranan yang penting dalam membentuk cara pemikiran semua pengguna. Oleh itu, dengan adanya pendedahan media massa tentang isu pencemaran, masyarakat umum akan berhati-hati dalam menanggani masalah pencemaran. Setakat ini, media massa yang paling banyak membuat pendedahan tentang isu pencemaran ialah majalah dan surat khabar. Televisyen juga ada membuat pendedahan ini contoh TV3 dan TV7 tetapi adalah terlalu sedikit ditekankan keutamanya.


BANJIR DAN HAKISAN SUNGAI DAN PANTAI
Isu banjir, tanah runtuh, pencemaran melibatkan udara, tanah dan air, hakisan pantai, kesan rumah hijau, pemanasan global menjadi agenda yang penting dalam menangani masalah alam sekitar yang semakin meruncing. Kualiti air sungai yang semakin hari semakin menjunam dengan pelbagai bahan sisa buangan disalurkan ke dalamnya merumitkan lagi keadaan. Beberapa batang sungai di Semenanjung Malaysia dikelaskan kepada tahap yang sangat kritikal sehingga kelas empat dan lima yang boleh disifatkan sebagai 'mati'. Isu mengenai hakisan muara sungai dan pantai merupakan perkara yang sudah lama dihadapi oleh Negara Malaysia setiap kali musim tengkujuh bermula. Di pantai timur khususnya di Terengganu, masalah hakisan bukan sahaja menjadi topik penting di kalangan pentadbir tetapi juga dikalangan anggota masyarakat yang mendiami persisiran pantai dan sepanjang muara sungai. Lazimnya, kejadian hakisan sering kali disusuli dengan kemusnahan tempat tinggal, kehilangan tanah serta kerosakan infrastruktur seperti jalan raya, tembok pemecah ombak, dan benteng.
Kajian tempatan turut mendapati hakisan di muara sungai adalah lebih aktif berbanding kejadian hakisan di sepanjang pinggir pantai. Kuasa hakisan yang dihasilkan melalui aliran sungai, ombak dan arus menyebabkan kawasan muara sungai lebih terdedah kepada risiko hakisan. Hal ini menjadi suatu konflik pertembungan persekitaran semulajadi dan manusia apabila hakisan yang berlaku tidak mampu dikawal secara teknikal. Struktur binaan yang berhampiran gigi air, asas tapak di atas lapisan pasir longgor serta mutu rumah yang rendah menjadi pemangkin kepada bencana hakisan.
Dalam pada itu faktor bencana bajir banjir juga berkait dengan aktiviti pembalakan yang dijalankan secara haram atau di luar kawalan pihak berkuasa. Maka, Jabatan Perhutanan negeri mengarahkan semua aktiviti pembalakan di sekitar daerah Padang Terap dihentikan serta-merta berikutan aduan mengenai kegiatan pengeluaran balak secara besar-besaran di kawasan itu. Pengarahnya, Kassim Osman berkata, semua aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan terpaksa dihentikan ekoran pengeluaran balak yang terlalu banyak dalam tempoh yang singkat. Kedah mempunyai 190,000 batang balak dengan jumlah pengeluaran sebanyak 2,300 batang sehektar setiap tahun dan Kedah merupakan antara negeri yang sering dikesan berlakunya pembalakan haram selain Kelantan, Pahang dan Perak. Malah jumlah itu tidak termasuk balak yang terdapat di kawasan hutan simpan yang mempunyai keluasan antara 20,000 dan 30,000 hektar.
Untuk mengelak berlakunya bencana dan kejadian yang buruk di kemudian hari, maka perlindungan dan pemuliharaan kawasan hutan paya laut itu dilakukan sebagai langkah pencegahan ekoran kejadian tsunami yang pernah melanda negara sebelum ini. Hutan pesisiran pantai termasuk paya laut memainkan peranan penting sebagai benteng memecah, menahan dan mengurangkan daya kekuatan pukulan ombak terhadap pantai.
Hutan pesisiran pantai adalah pelindung fizikal secara semula jadi dan merupakan suatu ekosistem unik yang menjadi habitat kepada pelbagai flora dan fauna serta hidupan marin. Program penanaman pokok bakau dan spesies lain di pesisiran pantai antara lain bertujuan mengurangkan kejadian hakisan dan pemendapan selain mengelak berlaku kejadian banjir besar. Program itu, bertujuan menahan gelombang arus yang kuat bagi mengelak atau mengurangkan kadar kemusnahan infrastruktur serta harta benda pada tahap minimum akibat kesan pukulan ombak besar seperti tsunami.
Selain itu, pelbagai kempen boleh dilaksanakan yang melibatkan murid-murid sekolah agar penerapan cintai alam sekitar dapat disemai dari kecil lagi untuk kesedaran dan menghargai alam sekitar sebagai warisan kepada generasi akan datang. Sebagai contoh, Pengarah Perhutanan Johor, Zulkefli Mohktar berkata, pihaknya giat melaksanakan penanaman semula itu dari semasa ke semasa dengan tahun lalu ia melibatkan kawasan sebanyak 30 hektar. "Bagi penanaman semula pokok-pokok bakau pada tahun ini, kami telah mendapat peruntukan sebanyak RM600,000 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM350,000 daripada kerajaan negeri”. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Kesedaran Pemuliharaan Hutan Pesisiran Pantai Negara 2008 peringkat negeri Johor di Taman Negara Johor Tanjung Piai. Program berkenaan berjaya menghimpun lebih 60 pelajar sekolah dari Johor Bahru dalam mempergiatkan penglibatan masyarakat untuk bersama-sama menjaga kepentingan hutan pokok bakau. Menurut Zulkefli, selain daripada penampan bencana tsunami, hutan bakau juga berpotensi meningkatkan pembiakan hidupan marin sekali gus menyumbang pendapatan kepada golongan nelayan [6].
Langkah-langkah adaptasi pula meliputi tindakan seperti berikut: i. Menjalankan kajian Coastal Vulnerability Index (CVI) yang boleh menjadi asas ketika mengambil langkah-langkah bagi menangani kesan kenaikan paras air laut kepada kawasan pesisiran pantai; ii. Menjalankan program mengukuhkan pesisiran pantai termasuk menanam pokok-pokok bakau sebagai usaha menangani kesan kenaikan paras air laut dan pukulan ombak; iii. Melaksanakan program kawalan banjir seperti Projek Stormwater Management and Road Tunnel (SMART); dan iv. Membangunkan pengurusan zon pesisiran pantai bersepadu (Integrated Coastal Zone Management) [7]. Selain itu, kemusnahan terumbu karang ini boleh juga disebabkan antara lain oleh aktiviti perikanan, pencemaran, hakisan pantai dan pemendapan pasir. Dalam pada itu, kajian coral bleaching yang telah dijalankan oleh Kementerian menerusi Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) dengan kerjasama Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di perairan Pulau Tioman pada Ogos 2008 mendapati bahawa kejadian coral bleaching ini bukanlah berpunca daripada pemanasan air laut tetapi disebabkan oleh pemendapan pasir ekoran projek pembangunan di kawasan berkenaan. Antara langkah-langkah yang telah diambil oleh Kementerian untuk melindungi terumbu-terumbu karang laut termasuk: -
(i) Memantau kualiti air di Semenanjung Malaysia iaitu, di Pulau-Pulau Taman Laut Terengganu, Pahang, Johor dan Kedah.
(ii) Menjalankan kajian pemantauan untuk membuat perbandingan di antara suhu di sesuatu kawasan dengan keadaan kesihatan terumbu karang di kawasan yang sama
(iii) Meningkatkan keupayaan sumber manusia di Jabatan Taman Laut Malaysia dengan menambahkan bilangan kakitangan dan mengadakan latihan kemahiran;
(iv) Menerbitkan satu manual Long Term Environmental Monitoring for Marine Parks Malaysia atau dikenali sebagai PANTAU bagi rujukan dan piawai protokol kajian kajian dan pemantauan ke atas terumbu karang dan kualiti air di perairan pulau-pulau Taman Laut; dan
(v) Mewujudkan kerjasama erat dengan universiti tempatan seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang mempunyai kepakaran di dalam bidang sumber marin.






KESIMPULAN
Sebarang isu alam sekitar samada yang membabitkan bencana alam secara semulajadi mahupun kesan dari aktiviti manusia itu sendiri, kita sebagai manusia yang dikurniakan akal yang waras dan ilmu haruslah memelihara setiap anugerah kurniaan Tuhan. Sebagai umat Islam, kita diwajibkan untuk menjaga dan mencintai alam sekeliling. Berikut merupakan sedikit pedoman untuk bersama kita kongsikan.
Petikan dari ayat Al-Quran :
"Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah s.w.t kepadamu (kebahagiaan) negeri di akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah s.w.t telah bebuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi, Sesungguhnya Allah s.w.t tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan" (al Qasas:77)
Allah s.w.t mengutuk dan membenci orang-orang yang merosakkan dan mencemarkan bumi dan alam yang telah Allah ciptakan dengan sempurna. Alam kalau tidak dijaga akan lenyap sepenuhnya kerana alam hanya satu, mana ada alam atau bumi yang lain, iaitu jika satu bumi rosak, ada bumi lain yang boleh kita tinggal pula. Semoga setiap usaha yang kita lakukan untuk bersama-sama menjaga bumi yang satu ini diberkati dan dijauhkan dari sebarang malapetaka sepertimana yang menimpa kepada umat yang terdahulu mahupun yang telah berlaku di luar Negara pada masa kini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Sini

Related Posts with Thumbnails